Monday, 15 December 2014

BERISTIGHFARLAH

Seseorang datang dan mengadu kepada Hassan al-Basri bahawa hujan tidak pernah turun.
Jawab Hassan al-Basri,
"Beristighfarlah kepada Allah."

Lalu datang pula orang mengadukan kefakirannya.
Jawab Hassan al-Basri,
"Beristighfarlah kepada Allah."

Kemudian datang lagi yang lain, kali ini wanita yang mandul mengadukan kepada Hassan al-Basri. 
Jawab Hassan al-Basri, "Beristighfarlah kepada Allah."

Para jemaah pun bertanya,
"Apakah setiap orang yang mengadu, engkau hanya mengatakan beristighfarlah kepada Allah?"

Beliau menjawab,
"Tidakkah engkau membaca firman Allah: 
'Mohonlah ampunan kepada Tuhanmu, sungguh, Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu, dan Dia memperbanyak harta dan anak-anakmu, dan mengadakan kebun-kebun untukmu dan mengadakan sungai-sungai untukmu.' 
(Nuh 71: 10 - 12)"

SOLUSI isu 72 : JANGAN MARAH
Page: 107

Wednesday, 15 January 2014

BERWUDUK & SOLAH TAHIYYATUL WUDUK

Saiyyidina Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa pada suatu pagi selepas solah subuh Nabi S.A.W berkata kepada Sayyidina Bilal r.a, 
"Wahai Bilal, ceritakanlah kepadaku tentang amalan yang paling engkau harapkan dalam Islam kerana sesungguhnya aku mendengar dalam mimpi bunyi detapan kasut kamu di hadapanku di dalam syurga."

Sayyidina Bilal r.a menjawab,
"Tidaklah saya melakukan mana-mana amalan yang lebih saya harapkan ganjaran selain daripada setiap kali saya berwuduk sama ada pada waktu siang atau malam maka saya bersolah (tahiyyatul wuduk) sebanyak yang Allah S.W.T beri taufik kepada saya."(Bukhari)


Rujukan:
Muntakhab Ahadis Hadis-Hadis Pilihan

Pengarang: Syeikh Muhammad Yusuf Kandhalawi

Penerbit: MAKTABAH ILMIAH SDN. BHd.

Page:190

GANJARAN YANG SAMA DENGAN 12 TAHUN IBADAT

Sayyidina Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda,"Sesiapa yang mengerjakan enam rakaat solah sunat selepas solah maghrib dan dia tidak bercakap-cakap perkara yang sia-sia antara solah-solah itu maka dia akan mendapat ganjaran yang sama dengan dua belas tahun ibadat."(Tirmizi)

Keterangan: selepas solah maghrib, bersama dua rakaat ba'diah ditambah empat rakaat solat sunat lagi,maka jumlahnya enam rakaat. Sesetengah ulama berpendapat bahawa enam rakaat solah sunat yang dimaksudkan oleh hadis di atas ialah selain daripada dua rakaat sunat ba'adiah maghrib. (Mirqat dan Mazahir Haq)

Rujukan:
Muntakhab Ahadis Hadis-Hadis Pilihan

Pengarang: Syeikh Muhammad Yusuf Kandhalawi

Penerbit: MAKTABAH ILMIAH SDN. BHd.

Page:189-190

Thursday, 14 November 2013

Mententeramkan Hati

"(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram."
(Surah al-Ra'd :28)

Rujukan:
TERJEMAHAN AL HIDAYAH AL QURAN AL KARIM (RASM UTHMANI) DALAM BAHASA MELAYU

TERBITAN: AL-HIDAYAH HOUSE OF QUR'AN SDN BHD

m/s:252

Siapa yang berani menyekat keampunan Allah?

"Dahulu ada seorang lelaki yang telah membunuh seramai 99 orang. Kemudian dia bertanyakan tentang orang alim. Lalu dia ditunjukkan kepada seorang rahib (orang yang kuat beribadah). Dia mengadu bahawa dia telah membunuh seramai 99 orang, maka adakah lagi taubat untuknya.

Rahib itu menjawab: 'Tidak!'

Lantas lelaki itu membunuh si rahib;
Lengkaplah 100 orang.

Kemudian sekali lagi lelaki itu bertanyakan tentang orang paling alim. Lalu dia ditunjukkan kepada seorang alim.

'Sesungguhnya aku telah membunuh 100 orang. Adakah taubat untukku?'

Orang alim menjawab: 'Ya. Siapalah yang boleh menghalang kamu dengan taubat? Pergi ke daerah sekian-sekian. Di sana penduduknya beribadah kepada Allah. Maka beribadahlah bersama-sama mereka. Jangan kamu pulang ke negeri kamu lagi kerana ia negeri yang teruk!'

Maka lelaki tersebut bertolak, hingga di pertengahan jalan dia meninggal dunia. Malaikat rahmat dan malaikat azab saling merebutkannya.

Malaikat rahmat bertegas:
'Sesungguhnya dia pergi dalam keadaan bertaubat dan menghadap Allah sepenuh hatinya.'

Malaikat azab pula menolak:
'Sesungguhnya dia belum berbuat sebarang kebaikan pun!'

Lalu seorang lagi malaikat dalam rupa manusia masuk campur. Diapun berkata:
'Sila ukur antara dua tempat. Mana satu yang lebih dekat, maka si mati itu menjadi haknya.'

Mereka mengukur lalu mendapati bahawa mayatnya lebih dekat dengan tempat yang ingin dituju. Maka malaikat rahmatpun mengambilnya."

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rujukan: SOLUSI: Hatimu Mana Satu (isu 61 m/s:1)